Tuesday, 1 November 2016

5 Perkara Asas Perlu Tahu Bila Kepala Anak Benjol & Terhantuk



“Risaunya tengok kepala anak benjol. Apa nak buat ni? Perlu sapu ubatkah?”
Memang terhenti sekejap jantung kita pabila terdengar bunyi hantukan dan tangisan anak yang tadinya seronok bermain. Kemudian, nampak pula kesan kebiruan yang makin merisaukan.
Sebagai ibu bapa, perkara seperti ini memang biasa berlaku terutamanya ketika anak sedang lasak. Maka, kita perlu mengetahui tanda bahaya dan apa yang sepatutnya dilakukan jika berada dalam keadaan sebegini.
Foto Kredit: vitahealthclinic.com
Foto Kredit: vitahealthclinic.com

5 Perkara Asas Perlu Tahu Bila Kepala Anak Benjol & Terhantuk

Benjol adalah situasi di mana pengumpulan darah beku berlaku pada bawah lapisan kulit akibat saluran darah kapilari yang pecah. Untuk memeriksa sama ada kepala anak benjol itu bahaya atau tidak, ketahui 5 perkara asas ini.

1. Periksa Keadaannya

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah memeriksa secara menyeluruh dan mencari kesan kecederaan akibat terhantuk tadi. Antara kesan bahaya yang perlu dibawa berjumpa doktor serta-merta adalah:
  • Tak sedarkan diri (pengsan sekejap atau lama)
  • Muntah yang teruk
  • Benjolan yang besar atau luka yang dalam
  • Pendarahan atau keluarnya cecair dari hidung, telinga, atau mulut
  • Sawan
  • Keliru, bingung, lemah, tidak aktif, dan tidak memberi respon terhadap sekeliling
Seperkara lagi, jika posisi benjolan terletak di bahagian hadapan kepala seperti dahi, anda tidak perlu terlalu khuatir. Sebaliknya, jika kepala anak benjol di bahagian belakang, lebih baik mengambil langkah selamat untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
kepala anak benjol
Foto Kredit: o-kroha.com

2. Gunakan Tuaman Ais

Salah satu cara meredakan kesakitan kepala anak benjol ini adalah dengan menuam pek ais. Lakukannya selama 15-20 minit.
Selain kaedah tuaman, anda boleh membalutkan ‘bandage’ untuk memberi kesan tekanan kepada benjolan tersebut.
ice-pack

3. Pantau Dalam Masa 24 Jam

Anak mungkin akan berasa mengantuk dan tidur sebentar, ini adalah normal. Apabila anak kembali tenang, perhatikan kelakuannya dan lihat sama ada terdapat simptom lain yang mencurigakan. Ini kerana, kecederaan otak menunjukkan kesan serta-merta atau berlaku secara perlahan-lahan.
Jika bayi kelihatan elok dan mula berkelakuan seperti biasa, berkemungkinan besar bayi tidak mengalami kecederaan serius. Walaubagaimanapun, pemerhatian harus dilakukan dalam tempoh 24 jam.
bahaya bayi jatuh katil
Foto Kredit: crosswalk.com

4. Tanda Perubahan Yang Tidak Normal

Dalam tempoh 24 jam, perhatikan tanda-tanda bahaya berikut:
  • Tidak berhenti menangis, tak boleh dipujuk, nampak kesakitan
  • Pernafasan semakin laju
  • Waktu tidur terganggu
  • Pergerakan kaki atau tangan yang tidak normal
  • Asyik terjatuh, tak dapat mengimbangkan badan
  • Muntah berterusan
  • Mata menjadi juling, saiz biji mata yang tidak normal
  • Penglihatan semakin kabur
Jika terjadinya sebarang tanda yang mirip seperti di atas, rujuklah ke hospital dengan kadar yang segera.
kepala anak benjol
Foto Kredit: familia.com.br

5. Minimakan Aktiviti Lasak Buat Sementara

Menurutnya, Datuk Dr Zulkifli Ismail, agak sukar gegaran otak untuk berlaku kerana otak manusia dilindungi oleh tempurung kepala dan dikelilingi cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat akibat terjatuh. Tapi, bayi yang kurang daripada 18 bulan adalah sangat berisiko kerana ubun-ubunnya masih lembut.
Jika tiada simptom di atas, anda boleh membiarkan anak anda berehat atau tidur. Namun, Dr Greene menasihatkan agar anda mengejutkan anak setiap 30 minit dalam masa 6 jam pertama setelah berlakunya hantukan tadi. Ini adalah untuk memastikan tidak berlakunya simptom yang merisaukan.
Apabila anak telah terjaga dan berkelakuan normal, bolehlah anda kembali beraktiviti secara sederhana.
head-injury-kid-children

Hubungi Doktor Jika Mengesyaki Masalah

Jangan teragak-agak membawa anak berjumpa doktor jika terdapat sebarang tanda yang meragukan. Di samping itu, jangan lupa maklumkan kepada pengasuh atau taska anak tentang kecederaan yang dialami agar pihak mereka lebih peka terhadap keadaan anak anda.


EmoticonEmoticon