Saturday, 22 October 2016

PM: Pembangkang tak hormat rakyat dengan keluar dewan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang membelakangkan kebajikan rakyat apabila keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 semalam.

"Pembangkang tidak menghormati rakyat dengan berjalan keluar apabila bajet dibentangkan untuk perbahasan.

"Kita bercakap tentang kebajikan, tetapi mereka berpaling dengan membelakangkannya," kata Najib di Twitter hari ini.

Anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar membawa sepanduk yang berbunyi 'Siapa MO1' .

Sepanduk itu merujuk kepada individu tidak dinamakan yang dipetik oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset yang dipercayai dibeli dengan dana dari 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan akhirnya mengakui kepada umum 'Malaysian Official 1' adalah Najib.

Namun Rahman berkata nama Najib tidak disebut dalam saman itu dan oleh itu beliau tidak disiasat.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan DOJ, MO1 didakwa menerima AS$ 730 juta dana yang berasal dari 1MDB.

Sementara itu, Bernama melaporkan perdana menteri membidas tindakan pihak pembangkang meninggalkan Parlimen ketika pembentangan Bajet 2017 semalam dan menganggapnya sebagai tidak menghormati Sistem Demokrasi Berparlimen dan kandungan bajet itu sendiri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pembentangan Bajet 2017 itu adalah amalan penting dalam sistem demokrasi berparlimen kerana ia mengandungi pelbagai usaha yang akan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

"Apabila sesuatu bajet itu dibentangkan, walaupun tidak bersetuju atau selaras dengan pendapat kita, namun ia merupakan bajet dalam sistem demokrasi berparlimen, maka ia menjadi bajet untuk rakyat dan negara.

"...tetapi kalau mereka (pembangkang) tidak menghormati pembentangan bajet mereka bukan sahaja tidak menghormati demokrasi berparlimen tetapi juga kandungannya yang menghuraikan kandungan untuk rakyat," katanya kepada media
Malaysia di Bangkok hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol Adulyadej di Grand Palace di sini. Baginda yang menduduki takhta selama 70 tahun sejak 1946, mangkat di Hospital Siriraj di sini pada 13
Oktober.

Perdana menteri tiba di Bangkok semalam bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

Menurutnya, Bajet 2017 itu menghuraikan pelbagai usaha untuk rakyat daripada soal pendidikan, kesihatan, perumahan, gaji dan perjawatan dalam perkhidmatan awam serta pertahanan dan keselamatan.

"Segala bentuk bantuan kepada rakyat dihuraikan dalam bajet. Apabila mereka bangun meninggalkan persidangan Parlimen, mereka membelakangkan kepentingan rakyat," katanya.

Walaupun tidak bersetuju dengan Bajet 2017 itu, beliau berkata, pembangkang boleh membahaskannya minggu depan serta mengkritiknya dan ia tidak menjadi masalah.

"Ia tidak menjadi masalah, tetapi apa yang kita mahukan adalah peranan membina mereka sebagai pembangkang bukan tidak menyertai proses pembentangan bajet di Parlimen," katanya.

Perdana menteri berkata, tindakan pembangkang semalam itu tidak menyebabkan sebarang masalah kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut Najib, pihak yang akan menanggung kerugian semalam adalah pihak pembangkang itu sendiri dan rakyat akan menilai tindakan mereka itu.

"Bagi BN, kita tidak menjadi masalah kerana yang akan menanggung kerugian adalah pembangkang kerana rakyat boleh membuat penentuan mereka sendiri dalam hal ini," katanya.

Perdana Menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke tanah air petang ini.
Sementara itu, di Sungai Petani, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata tindakan beberapa anggota Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 semalam dilihat satu tindakan yang sangat mengecewakan dan tidak profesional.

Katanya, walaupun mereka bebas untuk bertindak sedemikian namun sebagai anggota Parlimen, mereka mempunyai peluang untuk membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat selama dua minggu.

"Pada ucapan belanjawan saya lihat kita harus mempamerkan tindakan profesional, semalam ialah peluang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebagai menteri kewangan untuk bentangkan bajet.

"Kalau tidak setuju boleh nyatakan dalam ucapan, perbahasan dan sebagainya, ramai yang kecam tindakan tersebut kerana ia kurang matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fit Malaysia peringkat negeri di Sungai Petani hari ini.

Anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' masih berlangsung.


EmoticonEmoticon

Whos