Wednesday, 26 October 2016

Penjawat awam membebankan, kata Tony Pua



PETALING JAYA: Ketua publisiti DAP menyarankan kerajaan membenarkan sebahagian penjawat awam terus dibayar gaji, tetapi mereka tidak perlu bekerja bagi mengurangkan masalah lambakan kakitangan awam.

“Di sesetengah negara asing, penjawat awam seperti itu mengambil gaji mereka, tetapi berada di rumah, bukannya ke pejabat. Ini kerana mereka mungkin menyebabkan perbelanjaan bertambah daripada segi pengangkutan dan masa yang dihabiskan di pejabat.

“Membenarkan mereka mengambil gaji tanpa bekerja, lebih baik daripada mereka bekerja dan membebankan kerajaan,” kata Tony Pua dipetik Malaysiakini pada forum berbahasa Mandarin bertajuk “Menganalisis Bajet 2017” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, semalam.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, cadangan mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan bukan penyelesaian berdaya maju kerana ia hanya akan menjejaskan perkhidmatan awam sehingga menyebabkan operasi kerajaan lumpuh.

“Katalah jika anda mahu mengurangkan 5% penjawat awam, baki 95% tidak akan bekerjasama dengan anda dan ia bukan langkah realistik.

“Kami menggelarnya ‘berat mati’ yang anda perlu tanggung,” katanya mengulas cadangan mengurangkan lambakan penjawat awam, apabila 36% daripada keseluruhan Bajet 2017 diperuntukkan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Soon Hoh Sing menyalahkan kerajaan atas kejahilan pendidikan vokasional sebagai faktor tidak langsung terhadap lambakan kakitangan kerajaan.
Beliau berkata, punca sebuah negara mengalami pergolakan disebabkan kadar pengangguran tinggi di kalangan graduan.

“Untuk mengelakkan ini berlaku, kerajaan Malaysia tiada pilihan kecuali menambah kuota penjawat awam untuk menyerap graduan,” katanya sambil menambah jika tidak, ramai belia mungkin menyertai pembangkang untuk menentang parti pemerintah.

Ketika ini, Malaysia mempunyai 1.6 juta penjawat awam, jumlah yang ramai bagi sebuah negara yang hanya memiliki 32 juta penduduk.

Emolumen sektor awam dalam belanjawan kerajaan persekutuan meningkat daripada RM42.4 bilion pada 2010 kepada RM77.4 bilion pada 2017, hampir 2 kali ganda dalam tempoh 7 tahun, walaupun pendapatan kerajaan merosot.

Pengurangan sektor awam bersaiz besar menjadi isu politik sensitif, ketika parti pemerintah dan pembangkang berlumba-lumba meraih sokongan bank pengundi besar pada pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan berlangsung lebih awal.



EmoticonEmoticon