Friday, 21 October 2016

Mahkamah Beku Akaun Faizz Nur



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini mengekalkan perintah membekukan tiga akaun bank milik dua bapa saudara kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan maut di Lebuhraya Duta Ulu-Klang Expressway (DUKE), tahun lalu. 


Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz, membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Hamizar Husain, 44 dan Muhammad Faizznur Asyraf Husain, 26, selaku pemohon untuk mengetepikan perintah ex-parte bagi membekukan akaun mereka. "Pembekuan itu akan diteruskan sehingga kes berkaitan nafkah dan hak penjagaan diputuskan mahkamah," katanya. 


Nassir juga memerintahkan ex-parte sedia ada dikekalkan bagi terma dua, tiga dan lima, manakala satu, empat dan tujuh dibatalkan. Selain itu, pengurusan bank perlu memberi kerjasama berkaitan membekalkan dokumentasi berhubung transaksi, manakala Yusnidah Husain, 46, selaku responden perlu melantik akauntan bertauliah bagi membuat pengauditan transaksi sumbangan orang ramai menerusi tiga bank. 


Beliau berkata, semua laporan terbabit perlu difailkan kepada mahkamah dua hari sebelum prosiding kes induk (nafkah) berlangsung. Mahkamah melarang dua bapa saudara menjalankan sebarang transaksi terhadap akaun bank terbabit sehingga kes induk berkenaan diputuskan mahkamah. Nahas yang berlaku Mei 2015 itu menyebabkan Nur Firuza Amira, 8 dan Nur Firuza Aqila, 5, kehilangan ibu bapa, Fairuz Nizam Husain, 35; Nova Safitri Azhari, 27 serta adik mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.


EmoticonEmoticon