Saturday, 15 October 2016

Agong Hilang Kuasa Selapas Tun Mahathir Pinda Perlembagaan Pada 1993




KUALA LUMPUR: Persepsi rakyat bahawa Majlis Raja-Raja boleh memecat Perdana Menteri dari terus mentadbir negara perlu segera diperbetulkan, kata pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin.

Menerusi transkrip temubual Sinar Harian bersama Salehuddin, beliau menjelaskan Perdana Menteri hanya boleh ditukar sekiranya dipersetujui majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Tiada satu peruntukkan secara khusus yang menyatakan Agong boleh memecat PM... jadi saya rasa terpanggil untuk memperbetulkan sedikit persepsi masyarakat tentang peranan Majlis Raja-Raja.

"Jangan anggap bahawa Majlis Raja-Raja merupakan satu institusi yang diberikan undang-undang untuk buat apa sahaja yang disarankan, tidak sedemikian, ia ada tatacara dan prosuder yang perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media baru-baru ini mendakwa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan tersebut kemudiannya disusuli dengan utusan surat oleh Dr Mahathir kepada semua Sultan dan Raja bagi memperkenan usahanya menyingkir Najib ekoran kata bekas Perdana Menteri itu mendapat sokongan 1.4 juta rakyat Malaysia menerusi Deklarasi Rakyat.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir, Salehuddin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memetik Perkara 43 Fasal 4 yang menjelaskan Perdana Menteri akan lucut jawatan sekuranya hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Oleh itu sekiranya ini berlaku, Perdana Menteri boleh, sama ada meletakkan jawatan, atau menghadap Agong untuk mencadangkan pembubaran Parlimen dan mengadakan pilihan raya bagi mendapat mandat yang baharu

"Atau sekiranya Agong tidak memberi perkenan untuk bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri,  maka seseorang ahli Dewan Rakyat perlu mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan membuat undi sama ada benar kepercayaan majoriti tidak lagi diperoleh," katanya.

Ditanya samaada sekiranya Agong dan Majlis Raja-Raja sebenarnya mempunyai kuasa atau tidak, Salehuddin menjelaskan sistem Raja Berpelembagaan meletakkan Agong dan Raja-Raja Melayu di cabang pemerintahan tertentu dan mempunyai peranan tersendiri.

"Majlis Raja-Raja memang ada peranan di dalam pentadbiran kerajaan, cuma ia agak terhad, di samping pengurangan kuasa yang telah berlaku semasa krisis perlembagaan 1993," ujarnya.

Krisis Perlembagaai 1993 yang dimaksudkan Salehuddin merujuk kepada sejarah pindaan Perlembagaan Persekutuan oleh Dr Mahathir sendiri yang menghakis dan mengurangkan kuasa raja-raja dengan alasan raja-raja bukan lagi bertindak sebagai payung kepada kekuasaan Melayu menyebabkan kuasa raja perlu disekat.

"Maka, terjadilah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang meminda peruntukan Perkara 66 yang menarik kuasa Agong untuk memberi perkenan terhadap sesuatu pindaan atau penggubalan  undang-undang.

"Ini bermakna sekiranya Agong tidak memberi perkenan terhadap sesuatu rang undang-undang di dalam tempoh 30 hari ianya akan secara automatik menjadi undang-undang.

"Ini semua petanda kepada penghakisan kuasa Agong dan raja-raja. Agong dan raja-raja dianggap sebagai satu institusi yang mempunyai peranan yang terlalu kecil atau tidak lagi relevan di dalam sistem pemerintahan kerajaan pada ketika itu. Institusi raja dianggap sebagai satu simbol istiadat semata-mata," katanya lagi.

- Malaysian Digest


EmoticonEmoticon