Friday, 23 September 2016

Menolak Najib Bermakna Menolak Melayu



Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perhimpunan Bersih 4 yang menolak Datuk Seri Najib Razak bermakna mereka menolak orang Melayu, lantas mewujudkan Himpunan Rakyat Bersatu untuk meluah perasaan mereka yang berasa ‘ditolak ke dinding’.

Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur Rabu lepas merupakan manifestasi perasaan orang Melayu ketika ini yang merasakan mereka “ditolak ke dinding”, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, insiden-insiden yang berlaku di dalam perhimpunan Bersih 4 yang didominasi satu kaum menimbulkan perasaan dalam kalangan orang Melayu untuk turut sama mengadakan perhimpunan dan berarak.

“Orang Melayu tidak ada perasaan ke? Orang Melayu juga ada perasaan. Ramai pergi ke himpunan itu bukan akibat hasutan pemimpin tetapi (pergi) kerana timbul di dalam perasaan mereka sendiri yang orang Melayu kini ‘ditolak ke dinding’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat veteran Umno Bahagian Padang Terap yang turut dihadiri Exco kerajaan negeri Kedah Datuk Badrol Hisham Hashim di Pengkalan Tok Mas.

Mahdzir yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Terap berkata, orang Melayu juga mahu berhimpun dan berarak selepas melihat perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lepas dihadiri majoritinya masyarakat Cina.


Tindakan peserta perhimpunan Bersih 4 itu seperti memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan membawa penyapu menyentuh perasaan orang Melayu.

“Apakah motif dan niat mereka (Bersih 4). Mereka kata perarakan itu untuk menolak Datuk Seri Najib, menolak Najib juga bermakna menolak Melayu,” katanya.

Mahdzir berkata pihak-pihak lain juga perlu menjiwai perasaan orang Melayu dan bukan hanya orang Melayu sahaja menjiwai perasaan bangsa-bangsa lain.

Orang Melayu katanya, mempunyai hak untuk berhimpun dan berarak juga sebagaimana dilakukan oleh peserta Bersih 4 dan tindakan itu tidak sepatutnya dilihat daripada sudut perkauman.

“Terdapat pihak-pihak melihat apa sahaja dilakukan oleh orang Melayu ketika ini bersifat perkauman, tanpa mengambil kira perasaan dan hak orang Melayu,” katanya. – Bernama / Foto TMI



EmoticonEmoticon

Whos