Friday, 16 September 2016

Jeff Ooi digesa padam kenyataan di Twitter


GEORGETOWN - Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun didesak supaya memadamkan kenyataan (posting) biadap di Twitternya berhubung pemergian tokoh agama terkenal, Datuk Dr Haron Din.

Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, kenyataan biadap dan rasis Chuan Aun atau lebih dikenali sebagai Jeff Ooi itu jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin DAP itu.

Menurutnya, tindakan Jeff Ooi menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace' turut menunjukkan beliau seorang ahli parlimen yang tidak waras.

"Dalam keadaan negara sedang bersedih apabila menerima berita kematian seorang tokoh agama yang dihormati, saya rasa tidak patut seorang ahli parlimen seperti Jeff Ooi menulis di Twitternya seperti itu.

"Saya amat marah dan terkilan dengan kenyataan main-main oleh Jeff Ooi itu. Beliau seolah-olah tidak ada perasaan dan tidak langsung mempamerkan sifat kemanusiaan.

"Bagi saya, beliau amat biadap, kurang ajar dan rasis. Adakah "adios" sesuai untuk diucapkan kepada orang yang sudah meninggal dunia? Budaya biadap beginilah yang terus memisahkan dan membeza-bezakan rakyat Malaysia. Saya mengenali arwah secara peribadi ketika arwah anak saya sakit satu ketika dahulu. Arwah Haron seorang yang baik dan berbudi pekerti. Oleh itu, saya desak Jeff Ooi padam postingnya itu dengan segera," katanya kepada Sinar Harian.

Haron, 76, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia di Hospital Stanford University Amerika Syarikat.

Pengasas pusat rawatan Islam Darussyifa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak semalam ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.

Haron berlepas ke AS sejak 10 September lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, tidak mustahil ahli DAP yang lain akan terpengaruh dengan tingkah laku biadap Jeff Ooi itu.

"Jika seorang ahli parlimen sebijak beliau berperangai seperti orang hilang kewarasan, maka tidak hairan lah jika ahli dibawah pimpinannya turut terpengaruh dan berkelakuan seperti beliau. Sekarang saya sudah tahu, kenapa ahli DAP tidak mempunyai perasaan dan banyak menulis mengenai anti Islam.

"Saya sarankan ahli parlimen Jelutong turun ke kawasan dan bantu akar umbi , kerana masyarakat Melayu di Jelutong sudah lupa wajah beliau. Saya mewakili Pemuda Umno Bahagian Jelutong mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Haron dan kami berdoa agar arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman disisi ALLAH SWT," katanya.


EmoticonEmoticon

Whos