Tuesday, 16 August 2016

Siapa sebenarnya Malaysian Official 1?



WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Rumah mewah, jet peribadi dan karya seni adalah antara 17 aset yang dimohon untuk dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivil difailkan di Los Angeles, kelmarin.

Saman sivil itu mempersoalkan bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan United Kingdom daripada dana 1MDB.
Dana itu didakwa digunakan untuk membeli estet mewah di AS, membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas, memperoleh lebih AS$200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York, dan membiayai produksi filem Hollywood.

Saman itu turut menamakan Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Kim Loong, serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny dalam dakwaan penyelewengan dana tersebut.

Dalam dokumen 136 halaman itu turut mendakwa sebanyak AS$731 juta disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik Malaysian Official 1. Namun, ia tidak menyatakan siapakah Malaysian Official 1 yang dimaksudkan itu.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan Malaysian Official 1 sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang turut memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB.

“Dalam semua masa yang relevan dengan aduan itu, Malaysian Official 1 adalah 'pegawai awam' sebagai istilah yang digunakan dalam 18 U.S.C. § 1956 (c)(7) (B)(iv) dan ‘penjawat awam’ sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia,” kata dokumen itu.

Peguam Negara AS, Loretta E Lynch berkata, Najib tidak dinamakan dalam tindakan undang-undang yang difailkan DOJ itu.

Menurut Lynch, ini kerana aduan adalah hanya untuk merampas aset 1MDB.

“Perjanjian kami hanya untuk merangka aduan seperti yang kami lakukan dalam hal pelucutan hak sivil. (Dan) ia adalah aduan terhadap wang atau aset sebenar berbanding terhadap individu. Kami tidak mempunyai pengumuman berhubung sesiapa yang tidak dinamakan. Jadi, ini akan jadi aduan yang bertujuan untuk menyita dan merampas aset tertentu yang dinyatakan,” katanya.



EmoticonEmoticon