Friday, 12 August 2016

Setelah Mencuri nak buat Rendang, Barulah ibu tunggal dapat zakat




SEREMBAN, 11 Ogos — Seorang ibu tunggal Nor Farina Che Ya, 38, yang dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,500 tanpa penjamin oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin, akan dimasukkan dalam senarai asnaf miskin bagi membolehkan bantuan dihulurkan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pada masa ini, Baitulmal telah menyalurkan bantuan barangan makanan dan wang tunai kepada wanita itu.

“Bantuan perubatan RM500 juga telah diluluskan. Beliau juga akan dimasukkan dalam senarai bantuan bulanan asnaf miskin dan anaknya akan diberikan bantuan persekolahan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan siasat untuk bantuan manakala beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga bersetuju untuk membantu mendapatkan pekerjaan untuk beliau,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Nor Farina didakwa di Mahkamah Majistret Seremban mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri daun kunyit, daun pandan, serai, daging kambing, syampu rambut, minyak angin, pakaian dalam, seluar dan tudung, semuanya dianggarkan bernilai RM262.86 di sebuah pasar raya berhampiran Dataran Centrio, Seremban 2 dekat sini, 5 Ogos lepas.

Nor Farina yang mengaku bersalah berkata perbuatannya mencuri adalah disebabkan desakan hidup selain bahan yang dicurinya ingin digunakan untuk membuat rendang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata siasatan awal mendapati wanita terbabit berasal daripada Kulim, Kedah dan menetap di Temiang di sini serta mendapat bantuan daripada JKM Kedah sebanyak RM150 sebulan.

“Beliau berpindah ke Negeri Sembilan dua tahun lalu dan menyara kehidupan dengan mengutip barangan terpakai. Beliau juga menghidap diabetes manakala anak tunggalnya menghidap penyakit hipoglisemia.

“Beliau juga pernah memohon bantuan Baitulmal semasa di Kedah namun gagal dihubungi selepas berpindah. Semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, doktor juga menyarankan supaya beliau mendapatkan bantuan perubatan daripada Baitulmal MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan),” katanya.

Mohamad berkata semasa lawatan pegawai MAINS dirumahnya mendapati borang bantuan perubatan masih berada dalam simpanan wanita terbabit dan belum dilengkapkan.

“Walaubagaimana pun, borang beliau telah diambil untuk diproses oleh pegawai berkenaan,” katanya. — Bernama

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/setelah-mencuri-nak-buat-rendang-barulah-ibu-tunggal-dapat-zakat#sthash.isXesVVe.02rHgiw6.dpuf


EmoticonEmoticon