Saturday, 18 June 2016

Pengundi terpilih terima tunai di pejabat Umno lepas mengundi

   
Kira-kira 100 pengundi dilihat beratur di luar pejabat Umno Tanjung Karang selepas mengundi bagi kerusi pilihan raya kecil Sungai Besar ketika pusat pengundian hampir ditutup petang ini.

Menurut sesetengah mereka, mereka dimaklumkan melalui telefon semalam untuk hadir sendiri di pejabat itu selepas mengundi.

Di pejabat Umno Tanjung Karang itu, beberapa kaunter khas didirikan mengikut saluran mengundi dan pengundi perlu memeriksa jika nama-nama mereka berada dalam senarai sebelum dibayar.

Menurut seorang pengundi, jumlah wang bergantung kepada tempat kediaman seseorang itu.

"Saya bekerja dan tinggal di Shah Alam tetapi alamat saya boleh mengundi di Sekinchan, maka saya dapat RM200," katanya kepada Malaysiakini tetapi tidak mahu namanya disiarkan.


"Saya dapat telefon dan mereka suruh saya datang ambil wang," katanya.

Seorang lagi pengundi wanita yang menghuni di Kuala Selangor tetapi mengundi di Sekinchan berdasarkan alamatnya di Sungai Besar yang tertera di MyKad menerima RM100.

Ditanya sama ada beliau mengundi Umno, beliau menjawab bukan.

"Tak apa, mereka tak tahu pun kita mengundi siapa, hanya perlu tunjukkan jari dakwat kepada mereka dan mendapat telefon daripada mereka semalam," katanya.


Walau bagaimanapun, bagi sesetengah pengundi Sungai Besar seperti lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Arif kecewa kerana gagal mendapat sebarang bayaran.

"Saya datang cuba tetapi nama tiada dalam senarai mereka," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk ulasan tetapi setakat ini belum berjaya mendapat sebarang reaksinya.


EmoticonEmoticon