Thursday, 2 June 2016

DBKL Angkut Gelandangan dan 'Campak' Mereka Jauh Dari Ibu Kota

Gelandangan dakwa diangkut DBKL, ditinggal jauh dari KL



Sekumpulan gelandangan berkata mereka diangkut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ditinggalkan di beberapa lokasi di luar bandaraya itu.

Mereka mendakwa ditinggalkan di beberapa tempat seperti di Rawang dan Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.

Salah seorang daripada mereka, Mala memberitahu Malaysiakini bahawa mereka diangkut oleh DBKL pada lewat malam.

Katanya, dia bangun dari tidur dan disumbat masuk ke sebuah lori di mana kemudiannya ditinggalkan di Lebuh Raya Karak.

Mala berkata dia mengambil masa sepanjang malam untuk berjalan kembali ke Kuala Lumpur dalam keadaan gelap dan hanya tiba di bandaraya itu pada awal pagi.

Sementara itu, Eddy berkata, dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam lori yang lain, yang dipenuhi gelandangan.

"Kira-kira 30 orang berada di dalam lori itu. Ia sangat sesak," katanya.

Empat daripada mereka, termasuk dirinya diturunkan di Rawang sebelum lori berkenaan meninggalkannya dan gelandangan yang lain.

Dia tidak tahu di mana lori itu pergi selepas dia ditinggalkan, dan mengapa mereka berbuat demikian.

"Mereka (DBKL) tidak memberitahu kita apa-apa, mereka hanya kumpulkan kita dan letakkan kita dalam lori terbabit," katanya.

Eddy berkata dia dan tiga yang lain mengambil masa kira-kira empat jam untuk berjalan kembali ke bandaraya itu dari Rawang.

Datuk Bandar tidak tahu

Anggota exco Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (Seed) Lalita Abdullah pertama kali menceritakan kejadian itu melalui catatan di Facebook.

"Pada 22 Mei, selepas berpeluang menonton konsert mengumpul dana anjuran Seed, beberapa ahli-ahli komuniti tempat tinggal kami ditahan dalam satu serbuan besar-besaran oleh DBKL di KL.

"Mereka dikumpulkan di atas sebuah lori dan dihalau keluar dari bandar. Mereka kemudian diminta untuk turun di Rawang dan beberapa tempat di lebuh raya Karak," katanya dalam catatan di Facebook.

Seorang wakil Seed kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa serbuan itu tiada apa-apa kaitan dengan konsert itu, tetapi sebahagian daripada mereka yang ditahan adalah pelanggan Seed.


"Ia adalah satu pusingan gelandangan di Masjid Jamek dan tempat-tempat seperti itu. Mereka diangkut dan ditinggalkan di luar bandar.

"Saya rasa mereka (DBKL) tidak jangka mereka akan berjalan balik," katanya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Datuk Bandar KL, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata beliau tidak mengetahui kejadian ini. Sebelum ini, beliau melancarkan tempat perlindungan bagi gelandangan di Medan Tuanku, Kuala Lumpur dan menggesa lebih banyak NGO menggunakannya.


EmoticonEmoticon