Tuesday, 7 June 2016

DAP Nafi anti Islam, hanya anti hudud


DAP tidak anti Islam, tapi bantah hukum hudud dilaksanakan di negara kita. Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Agung, DAP, Lim Guan Eng kelmarin, lapor Sin Chew Jit Poh.

Kata Guan Eng, DAP tidak dapat menerima hukum hudud kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana dalam sesebuah negara, dalam masa yang sama tidak boleh mempunyai dua undang-undang jenayah yang berbeza, iaitu undang-undang sivil dan undang-undang Islam,” kata pemimpin DAP itu.

Mengenai tuduhan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap DAP sebagai ‘penyibuk’ kerana mencampuri urusan RUU persendirian yang hanya membabitkan orang Islam, kata Guan Eng, Abdul Hadi sebenarnya telah silap.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun kata RUU ini tidak adil,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu lagi.

Guan Eng turut berasa hairan kenapa MCA meminta DAP keluar menganggotai kerajaan Selangor sedangkan kerajaan negeri itu tidak pernah membentangkan sebarang usul hukum hudud dalam sidang Dun.

“Sepatutnya MCA, MIC dan Gerakan yang harus keluar dari BN. Ketiga-tiga parti inilah yang membenarkan Abdul Hadi bentangkan RUU di parlimen.

“Demi membuktikan tidak setuju hukum hudud dilaksanakan, MCA, MIC dan Gerakan patut segera meninggalkan BN, dan bukan hanya ugut meletakkan jawatan semata-mata,” katanya.

Lim turut membidas tindakan Pas sejak akhir-akhir ini yang kerap memainkan isu perkauman seperti yang dilakukan Umno dan BN selama ini.

“Pas sudah tidak seperti dulu. Pas tiap-tiap hari marah parti pembangkang, mereka sudah lupa mereka juga adalah parti pembangkang.

“Dalam dua PRK ini, pengundi yang sokong calon Pas bermakna mereka juga sokong calon BN. Pengundi yang sokong calon Amanah adalah pengundi yang sokong Pakatan Harapan dan menentang BN,” katanya.

Mengenai dakwaan Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa DAP ada memberi sumbangan kewangan kepada Amanah, Lim meminta Mustafa kemukakan bukti untuk menjelaskan dakwaannya.

Sementara itu, kempen PRK Sungai Besar mulai rancak sebaik sahaja selesai penamaan calon semalam.

Calon BN, Budiman Mohd. Zohdi sebagai contohnya, memulakan kempen di laman sosial apabila membuka akaun Facebooknya dalam tulisan Cina.

Dalam usaha menarik seberapa banyak undi Cina, calon BN ini menulis “Sayalah Ah Man” sebagai tajuk besarnya berserta gambar sendiri yang menunjukkan isyarat tangan menang.

Dalam Facebooknya itu, Budiman juga tidak ketinggalan memperkenalkan latarbelakangnya, yang antaranya menceritakan sejak kecil dilahirkan dalam kawasan kampung, suka berkawan, suka makan nasi lemak, roti canai dan mee Hailam.

Katanya, kewujudan Facebooknya ini adalah bertujuan untuk memberitahu aktivitinya sepanjang tempoh kempen kepada pengundi Cina parlimen Sungai Besar.

Kata Budiman lagi, demi berkomunikasi dengan lebih baik dengan pengundi Cina, beliau kini berusaha belajar bahasa Mandarin. Beliau mengakui mampu bertutur dalam dialog yang mudah, tetapi jika ada yang kurang faham, terpaksalah mendapatkan bantuan daripada pembantu atau sukarela untuk menterjemahkannya.


EmoticonEmoticon