Monday, 6 June 2016

Adenan Satem arah Ahli Parlimen Sarawak tolak RUU Mahkamah Syariah



KUCHING, Isnin – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengarahkan semua Ahli Parlimen Sarawak menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, Oktober depan.

“Pendirian ini dijelaskan kerana ia tidak mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian kaum di negeri ini.

“Masyarakat Islam hanya membentuk 25 peratus daripada rakyat negeri ini dan kita perlu menghormati konsensus yang dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu, semalam.

Sebelum ini Adenan berulang kali menegaskan keputusan Kerajaan Negeri Sarawak adalah menolak hukum hudud dan ia turut dinyatakan dalam 53 inisiatif pemerintahannya.

Sarawak, negeri yang terbesar di Malaysia, memegang 31 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Daripada 31 kerusi itu, BN memegang 25 manakala pembangkang mempunyai enam kerusi.

Pindaan RUU ini adalah agenda terakhir pada Senarai Perintah Parlimen.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman mengemukakan agar usul perbahasan ini dibawa ke hadapan, yang telah diluluskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang usul berkenaan bertujuan untuk meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.


EmoticonEmoticon