Tiada Jaminan Dari Kerajaan Untuk Tidak Menaikkan Taarif Elektrik tahun Ini

KERAJAAN TAK DAPAT JAMIN TARIF ELEKTRIK TAK NAIK, KATA MENTERI



Kerajaan tidak dapat memberi jaminan tarif elektrik tidak akan dinaikkan namun jika berlaku juga, ia akan dipastikan tidak membebankan pengguna, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Kata beliau, ia boleh dilakukan melalui rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga Elekrik antara kerajaan dan pengeluar tenaga bebas (IPP).

Menurut Maximus tarif elektrik di semenanjung ditentukan oleh kerangka peraturan berdasarkan insentif (incentive-based regulation) yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu komponen tarif asas dan komponen kos kelulusan ketidakseimbangan (imbalance cost pass-through – ICPT).

Tarif asas, katanya, mengambil kira harga asas bahan api utama serta kos operasi dan pembangunan pihak utiliti termasuk pulangan pada asas aset yang dikawal selia (RORB).

Komponen ICPT, kata Maximus, membolehkan semua kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan untuk memastikan pengguna membayar kos sebenar bahan api tersebut.

Dalam jawapan bertulis di parlimen hari ini beliau berkata sebarang pengurangan atau peningkatan kos akan dilepaskan kepada pengguna melalui semakan setiap enam bulan.

“Kedua-dua komponen tarif inilah yang menentukan jumlah sebenar bil yang perlu dibayar pengguna kepada TNB,” katanya.

Dalam penjelasannya itu juga Maximus berkata kerajaan memberikan tiga kali rebat sebanyak RM2.57 bilion antara Mac 2015 hingga Jun 2016.

“Usaha dijalankan kerajaan untuk memastikan tarif elektrik ditetapkan pada kadar tetap selepas mempertimbangkan kos sebenar,” katanya.


Maximus menjawa soalan dikemukakan Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim yang bertanya mengenai langkah kerajaan memastikan tarif elektrik tidak terus naik. – Malaysiakini

0 Response to "Tiada Jaminan Dari Kerajaan Untuk Tidak Menaikkan Taarif Elektrik tahun Ini"

Post a Comment