Tuesday, 31 May 2016

MCA Akan Memulakan Satu Gerakan Rakyat Bagi Menentang Usul TG Haji Hadi

Gerakan rakyat menentang usul Hadi


ISU Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat terus menjadi tumpuan beberapa akhbar Cina.

Sin Chew Jit Poh dan China Press dalam muka depannya menumpukan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa partinya akan memulakan satu gerakan rakyat untuk menentang Pas dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, gerakan rakyat ini akan dianggotai oleh seluruh rakyat, ahli parlimen, semua persatuan Cina di seluruh negara dengan menggembleng tenaga menghalang usul Abdul hadi daripada diluluskan di Dewan Rakyat.

"Sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada Oktober depan. MCA tidak akan berdiam diri untuk menyedarkan rakyat agar tampil mempertahankan perlembagaan negara kerana ia mampu melindungi rakyat untuk terus hidup secara berharmoni di negara kita," kata Liow kepada pemberita selepas mengadakan majlis penerangan kepada tiga sayap parti.

Ditanya mengenai bentuk untuk melancarkan gerakan rakyat ini, Presiden MCA itu menjelaskan, parti MCA akan mengumumkannya sedikit masa lagi namun apa yang jelas, semua persatuan Cina sudah menyatakan sokongan kepada MCA untuk sama-sama bantu menjayakan gerakan tersebut.

Manakala Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong meminta Ahli-ahli Parlimen dari Amanah, Keadilan dan DAP yang beragama Islam untuk menyatakan pendirian mereka mengenai tindakan Abdul Hadi berkenaan.

"DAP mempunyai dua ahli parlimen beragama Islam, begitu juga Amanah ada enam dan Keadilan ada 16. MCA ingin tahu apakah mereka sokong atau tidak usul yang dibentangkan oleh presiden Pas itu?" soal Tee Yong.

Kata Tee Yong, DAP kerap kali mempersoalkan pendirian MCA, namun setelah presiden MCA sudah menyatakan dengan jelas, pemimpin-pemimpin DAP khasnya yang beragama Islam masih membisu tanpa memberikan sebarang kenyataan sehingga hari ini.

Kedua-dua akhbar ini juga menyiarkan kenyataan pemimpin-pemimpin MCA sama ada berjawatan menteri mahupun timbalan menteri bahawa mereka sedia letak jawatan masing-masing sekiranya usul persendirian itu diluluskan dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, parti-parti yang akan bertanding pada PRK Sungai Besar nampaknya sudah bersiap sedia memulakan jentera masing-masing. Selain isu-isu nasional seperti 1MDB dan dana RM2.6 bilion, masalah sara hidup petani dan nelayan juga dijangka dibangkitkan sepanjang kempen berlangsung.

Hari penamaan calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditetapkan pada 5 Jun depan. Buat masa ini Umno dan Pas sudah mengumumkan calon masing-masing. Manakala Amanah dijangka umumkan calonnya dalam masa beberapa hari lagi.

Tinjauan yang dibuat Orientaldaily ke atas pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat tempatan mendapati selain isu-isu nasional yang menjadi perhatian ramai, isu-isu tempatan membabitkan petani dan nelayan juga akan dibangkitkan tidak kira BN mahupun pembangkang dalam usaha meraih sokongan daripada pengundi.

Tidak dinafikan, agak ramai penduduk Sungai Besar dan Sekinchan adalah bergantung pada hasil padi dan laut sebagai sumber pendapatan utama mereka. Sekiranya mana-mana parti politik yang mampu menyediakan apa sahaja kemudahan mahupun peruntukan tambahan kepada petani dan nelayan ini, pastinya ia memberikan peluang yang lebih cerah untuk cipta kemenangan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, petani dan nelayan di Sungai Besar dan Sekinchan adalah terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Golongan ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan sesebuah parti yang bertanding.

"Selain petani, nelayan juga menghadapi masalah yang tidak kurang seriusnya. Antaranya pengharaman pekerja asing menyebabkan pengusaha laut dalam menghadapi kekurangan tenaga pekerja.

"Di samping itu, persempadanan laut antarabangsa yang kurang jelas sering menyebabkan nelayan tempatan ditangkap kerana dituduh menceroboh kawasan Indonesia. Sejak tahun ni, sekurang-kurangnya tiga buah bot nelayan dari Sekinchan telah dimusnahkan oleh pihak kerajaan Indonesia.

"Pakatan Harapan akan menggunakan peluang dalam PRK kali ini untuk terus mendesak kerajaan agar menyelesaikan segera masalah-masalah membabitkan golongan petani dan nelayan ini," kata Suee Lim.


EmoticonEmoticon