Friday, 20 May 2016

Lelaki hantar mesej jelik kepada kerabat Johor ditahan


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengayakan aksi menembak pada Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd (kiri) ketika menyaksikan pertandingan menembak di lapang sasar Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat sebelum berangkat ke majlis pelepasan pada hari ketiga Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat pada 16 Mei lalu. - Foto Zain Ahmed 


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dipercayai menghantar mesej jelik kepada kerabat Istana Johor menerusi aplikasi WhatsApp, ditahan polis malam tadi. Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan pada jam 10 malam berdekatan tempat kerjanya di Menara Maybank, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. 


Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit dan dua unit kad sim milik suspek. "Polis menerima laporan dibuat petugas Istana Johor pada jam 10.30 pagi semalam berhubung penerimaan mesej bersifat jelik dalam WhatsApp oleh seorang kerabat rapat Istana Johor. "Siasatan mendapati suspek memperoleh butiran maklumat nombor telefon bimbit kerabat Istana Johor itu dengan cara tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.



EmoticonEmoticon