Wednesday, 11 May 2016

Calon UMNO Untuk PRK Sungai Besar DiDedah




Menyelusuri jalan di sepanjang Parlimen P093, Sungai Besar, penulis terimbau akan apa yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen disini, Allahyarham Datuk Hajjah Noriah Kasnon bagi membela penduduk di Parlimen ini. Walaupun penulis tidaklah rapat dengan Allahyarham, namun dari temubual yang dilakukan, rata-rata penduduk di Parlimen ini masih memperkatakan tentang Arwah dan segala usaha yang dilakukannya.

Dalam membicarakan tentang keadaan disini, masih ramai yang tertanya-tanya, siapakah yang bakal diletakkan harapan oleh UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen ini bagi menerus dan menambah baik apa yang sedang diusahakan oleh Allahyarham Datuk Hajjah Noriah di Parlimen ini.


Secara amnya, Parlimen P093 Sungai Besar ini mempunyai dua buah Dewan Undangan Negeri iaitu di N03 Sungai Panjang yang diwakili oleh Budiman Mohd Zohdi dari Barisan Nasional dan N04 Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP. Di peringkat Parlimen pula, Allahyarham Datuk Hajjah Noriah Kasnon berjaya menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh Bin M Husin dengan majoriti sebanyak 399 undi.

Justeru, sebaik sahaja kerusi ini disahkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), banyak nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Antara nama-nama yang hangat diperkatakan adalah Dr Mohamad Khir Toyo, Budiman Mohd Zohdi, Datuk Jamal Md Yunos dan Muslimin Yahaya, Setiausaha Sulit Kanan Allahyarham Datuk Hajjan Noriah.

Mengupas menegani calon, Dr Mohamad Khir Toyo merupakan anak jati Tanjung Karang yang sebelum ini menjadi ADUN bagi N03 Sungai Panjang. Beliau disifatkan cukup arif dengan suasana dan sosio politik di Parlimen ini kerana menjadi ADUN di Sungai Panjang sejak 1999 sebelum kerusinya diambil alih oleh Budiman Mohd Zohdi pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Cuma, apa yang menjadi penghalang untuk beliau dari dicalonkan di kerusi ini adalah kes beliau yang terdahulu yang mungkin akan dijadikan peluru oleh pembangkang dalam menjatuhkan beliau. Namun begitu, sebagai orang lama dalam bidang politik, beliau sudah tentunya sedar akan dugaan dan serangan seumpama ini dan ada diantara pemerhati politik menyifatkan beliau sebagai calon yang boleh menang.

images (7)

Membicarakan tentang Budiman Mohd Zohdi, beliau salah seorang ahli politik muda BN di Selangor yang cukup berani dan lantang bersuara. Kredibiliti beliau dalam membentuk ukhwah dikalangan orang muda sentiasa diberi perhatian oleh ramai pihak. Justeru, sebagai pengganti kepada kerusi yang ditinggalkan oleh Dr Mohamad Khir Toyo pada PRU yang lalu, beliau boleh disifatkan sebagai berjaya di DUN berkenaan.

Cuma yang menjadi persoalannya, adakah beliau mampu untuk menguruskan kawasan yang jauh lebih besar seperti P093 Sungai Besar? Sebagai orang yang dikenali di Parlimen berkenaan, kemungkinan beliau untuk dilantik sebagai calon tetap ada, cuma mungkin disifatkan sedikit awal dan mungkin akan sedikit mengganggu urusannya di Sungai Panjang.

Bagaimana pula nama Datuk Jamal Md Yunos? Beliau cukup dikenali sebagai salah seorang aktivis tegar Melayu dan peranan yang dimainkan olehnya semasa Perhimpunan Baju Merah di Ibu Negara tahun lalu sehingga kini masih terus diperkatakan. Pemilik perniagaan ikan bakar di Sekinchan ini juga turut dikenali di Parlimen Sungai Besar sebagai seorang aktivis kemasyarakatan.

Namun begitu, bagi pemerhati politik, kemampuan beliau untuk menjadi pemimpin masih belum benar-benar teruji. Adakah beliau mampu untuk menjadi Ahli Parlimen bagi sebuah kawasan yang secara tradisinya milik Barisan Nasional? Usah dilupa, 31 peratus daripada pengundi di Parlimen ini adalah dari pengundi Cina dan penerimaan semua kaum, baik Melayu, Cina dan India turut diambil kira dalam pemilihan calon kali ini.

Siapakah Muslimin Yahaya bagi penduduk Parlimen Sungai Besar? Beliau merupakan Setiausaha Sulit Kanan bagi Allahyarham Datuk Hajjah Noriah semasa hayatnya. Pemilik sijil Bachelor Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia ini dilihat tidak asing bagi hampir kesemua penduduk di Parlimen Sungai Besar. Beliau sentiasa dilihat mengiringi Allahyarham pada mana-mana majlis yang beliau hadiri.

Membicarakan tentang penerimaan masyarakat, beliau dilihat seorang yang banyak berkomunikasi di dalam Parlimen ini sehinggakan beliau diberikan amanah oleh Allahyarham dalam menguruskan sebarang masalah di jeti pendaratan ikan di sini. Namun begitu, satu-satunya halangan beliau untuk dinamakan sebagai calon adalah faktor pengalaman beliau walaupun beliau dilihat seperti “bayang-bayang” Arwah di Sungai Besar.

Inilah antara nama yang cukup hangat diperkatakan kini. Namun begitu, kesemua nama ini hanya akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi UMNO sebaik sahaja mereka mengenal pasti, siapakah yang paling layak untuk menjadi wakil kepada kira-kira lebih 23 ribu orang penduduk di sini. Paling utama, mereka yang dipilih akan menjadi pewaris kepada legasi cemerlang yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Hajjah Noriah Kasnon kepada kesemua penduduk P093 Sungai Besar.


EmoticonEmoticon