Bank Negara Sahkan Akan Tutup Kes 1MDB Selepas bayar denda


  
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menutup kes berhubung 1MDB, demikian menurut gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim.

Keputusan menutup kes itu dibuat selepas firma pelaburan negara itu membayar denda yang dikenakan sepenuhnya semalam, jelas Muhammad.

"Ada beberapa undang-undang lain yang ditadbir oleh pihak berkuasa lain dan kami akan terus memberikan kerjasama dalam hal ini," katanya, memetik laporan The New Straits Times.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Persidangan Perbankan Malaysia ke-20 di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Muhammad enggan mendedahkan nilai kompaun yang dikenakan sambil menyatakan ia bertentangan dengan polisi bank pusat itu untuk berbuat demikian.

Pada 28 April yang lalu, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011, kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh BNM untuk memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidakupayaan untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.

1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.

0 Response to "Bank Negara Sahkan Akan Tutup Kes 1MDB Selepas bayar denda"

Post a Comment