Wednesday, 9 March 2016

AHMAD SAID: SAYA DEDAH RAHSIA BESAR NAJIB YANG MEMALUKAN


Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa beliau menyimpan satu rahsia besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, jika rahsia itu didedahkan, ia boleh memalukan Najib dan rakyat.

“Saya tidak mahu cerita perkara sebenar di Terengganu sekarang. Kalau saya dedahkan malu semua orang, malu Perdana Menteri (Najib Razak).

“Jangan main-main, ada benda, takut orang malu. Saya korbankan diri saya, saya sanggup melawan Perdana Menteri kerana rakyat Terengganu ‘terhutang,” katanya kepada FMT.


Ahmad berkata, disebabkan rahsia besar itu beliau berjuang habis-habisan dan sanggup mengorbankan dirinya, semata-mata untuk menyelamatkan rakyat di Terengganu.

Diminta menjelaskan lebih lanjut rahsia besar itu, Ahmad berkata, beliau hanya akan mendedahkan rahsia itu selepas melihat reaksi dan komen-komen pemimpin UMNO terhadap dirinya termasuk daripada Najib sendiri.

“Saya tak boleh cerita sekarang, saya tunggu tindakan atau komen-komen daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Tengku Adnan Mansor).

“Saya tak nak cerita sekarang tetapi jangan buat saya rasa terhina,” katanya.

Semalam, Ahmad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif kerana berkata usul itu dibuat tanpa notis sekaligus melanggar peraturan DUN. – FMT


EmoticonEmoticon