Monday, 11 January 2016

Khidmat 50,000 pekerja kontrak kerajaan ditamatkan akhir tahun



Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menamatkan khidmat 50,000 pekerja kontrak kerajaan pada 31 Disember ini adalah luar biasa dalam sejarah kerajaan.

Lantaran itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu JPA mengkaji secara terperinci keputusan berkenaan dijangka memburukkan reputasi kerajaan yang selama ini didakwa mengalami masalah kewangan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepac secara terang-terangan memang membantah keputusan JPA itu kerana ia melibatkan ramai pekerja kontrak yang tidak ada jaminan akan mendapat pekerjaan baru di swasta.

"Soal JPA memberi notis pemberitahuan awal bukan isu tetapi adakah 50,000 ini boleh mendapat pekerjaan di syarikat swasta.

"Dan, mengapa pemberhentian pekerja ini dilakukan, sungguh luar biasa kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah," katanya kepada MalaysiaGazette.

Azih mengesahkan notis berhubung kontrak pekerja awam tidak akan disambung telah dikeluarkan JPA dan ia membabitkan seluruh peringkat.

Tegasnya, sungguhpun JPA boleh bertindak demikian kerana status pekerja kontrak tetapi adalah tidak adil dilakukan serentak dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

"Kenaikan kos barang menyebabkan kos gaya hidup juga meningkat. Apa akan jadi dengan nasib 50,000 orang pekerja ini jika kontraknya tidak disambung.

"Saya khuatir keadaan ini akan memburukkan lagi nasib mereka ini terutama yang mempunyai tanggungan.

"Kerajaan tidak ada pilihan kecuali kaji balik keputusan dan implikasi akibat tindakan tersebut," tambah beliau.

Isu penamatan kontrak itu pernah ditanya kepada Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal namun beliau enggan mengulas lanjut sebaliknya memberitahu keputusan berkenaan boleh dikaji semula. - MalaysiaGazette


EmoticonEmoticon